Penerbitan Sheriff: Narko Integriti

Sheriff: Narko Integriti menjadi filem kepolisan kedua arahan Syafiq Yusof selepas KL Special Force (2018) dan menandakan kolaborasi ketiga antara Syafiq dan Zul Ariffin selepas Misteri Dilaila (2019) dan Penunggang Agama (2021). Barisan pelakon lain yang terlibat ialah Syafiq Kyle, Azira Shafinaz, Elizabeth Tan, Dato Aaron Aziz, Shaharuddin Thamby, Kodi Rasheed, Esma Daniel, Hazama Azmi dan Azri Iskandar. [4][5] Shaharuddin dan Esma sebelum ini pernah berlakon bersama dalam KL Special Force, manakala Elizabeth pernah membintangi filem Misteri Dilaila dan Abang Long Fadil 3 (2022), yang kedua-duanya arahan Syafiq. Ini juga merupakan projek filem pertama lakonan bersama Syafiq Kyle dan Azira Shafinaz selepas digandingkan menerusi drama Married Tapi Benci (2016) dan One Cent Thief (2022). Watak Tony Ifrit pada asalnya ingin diberikan kepada Azhan Rani, namun digantikan oleh Dato Aaron Aziz selepas digugurkan dari The Original Gangster (2024).

Dalam satu temubual eksklusif bersama New Straits Times pada Jun 2023, Syafiq berkata mengenai filem ini: "Sheriff ialah drama aksi polis yang bagus. Bapa saya (Datuk Dr. Yusof Haslam), yang merupakan penerbit eksekutif bersama, memberi saya idea ini, kerana dia sudah lama mahu saya membuat filem sebegitu".[5] Menurutnya, beliau membesar dengan menonton drama dan filem polis, bukan sahaja Gerak Khas malah filem Hollywood seperti Lethal Weapon dan Die Hard. Beliau juga menjelaskan bahawa Sheriff berdasarkan "cerita sebenar polis di Barat serta Hong Kong dan kembali ke tanah air". Beliau turut memastikan pihaknya mendapat barisan bintang yang terdiri daripada nama berbakat dan popular. Syafiq juga mendedahkan bahawa Sheriff ialah tajuk kerja dan bercadang mahu menukar tajuk filem itu jika dapat mencari tajuk yang sesuai sebelum memutuskan untuk mengekalkan tajuk filem ini. [5] Penggambaran dijalankan selama lebih 90 hari di Lembah Klang dan Kuala Lumpur, termasuk Bandar Malaysia dan Sungai Besi, dari Februari sehingga Mei 2023. [5]

Syafiq mengakui bapanya amat menyukai filem arahannya, namun tidak berpeluang untuk mempertontonkan filem ini kepada abangnya, Syamsul Yusof. [6]

Rujukan

WikiPedia: Sheriff: Narko Integriti https://www.myinfotaip.com/2024/02/syerif.html https://bebasnews.my/2024/03/25/sheriff-kisah-poli... https://www.nst.com.my/lifestyle/groove/2023/05/91... https://www.nst.com.my/lifestyle/groove/2023/06/91... https://siakapkeli.my/2024/03/24/trailer-filem-she... https://gempak.com/berita-terkini/teaser-sheriff-b... https://www.hmetro.com.my/rap/2024/03/1073480/ayah... https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/... https://filmcombatsyndicate.com/sheriff-zul-ariffi... https://www.imdb.com/title/tt28547912/